Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang
meninggal dunia akibat kanser usus di seluruh dunia pada 2008. Di negara
kita, menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia,
kanser usus atau kolon (juga kadangkala dipanggil kolorektal) adalah
kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes
baru setahun.
Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser
payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap
berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita
semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.
Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus
(180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan
kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum.
Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar
yang berakhir dengan dubur.
Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang
bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa
sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.
Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia
dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang.
Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam
usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau
rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar
menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil
masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia
semakin teruk.
Tanda-tanda kanser usus
Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa
tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah
untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak
menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia
boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara
gejala kanser usus ialah:
* Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.
* Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.
* Najis bercampur dengan darah.
* Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis
menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan
terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang
berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan
berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).
* Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).
* Perut rasa memulas.
* Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).
* Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).
* Muntah.
* Hilang selera makan.
* Berat badan turun tanpa sebab.
* Kerap penat.
* Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.
Faktor risiko kanser usus
Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:
* Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90
peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.
* Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan
polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada
dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser.
Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah
pertumbuhan sel kanser.
* Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.
* Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah
menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko
mendapat kanser usus.
* Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang
serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser
usus.
* Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap
rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian
menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap
kanser usus berbanding bukan perokok.
* Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.
* Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.
* Kurang bersenam.
Saringan dan pengesanan
Diagnosis kanser boleh datang
secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya
dianggap 'pembawa maut', ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala
disahkan menghidap penyakit ini.
Kanser adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi
fizikal dan emosi. Kebanyakan pesakit menerima keputusan diagnosis
kanser dengan perasaan yang sedih, terkejut, hampa dan bimbang. Ada juga
yang berasa marah dan sangat kecewa kerana tidak dapat menerima hakikat
mereka menghidap kanser.
Sebenarnya pesakit kanser usus ada peluang sembuh yang tinggi, iaitu
antara 85 hingga 95 peratus, jika penyakit dikesan awal (pada peringkat
pertama) dan peluang ini menurun kepada 60 hingga 80 peratus andai
menerima rawatan ketika kanser di peringkat kedua.
Namun dalam kebanyakan kes, pesakit lambat datang mendapatkan rawatan.
Jawatankuasa Gabungan Amerika Untuk Pengenalan Peringkat Kanser Usus
melaporkan, kebanyakan pesakit (30 hingga 40 peratus) berjumpa doktor
ketika kanser mereka pada peringkat ketiga dan 20 hingga 25 peratus lagi
apabila penyakit di tahap serius (peringkat keempat).
Kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca peningkatan jumlah kematian
pesakit kanser usus di kalangan masyarakat Asia, termasuk di negara
kita. Jika dilihat peluang keterusan hidup dalam tempoh lima tahun,
peratusannya turun mendadak daripada 30 hingga 60 peratus (peringkat
ketiga) kepada kurang lima peratus bagi peringkat keempat.
Sebabnya sebaik disahkan menghidap kanser, usah bertangguh mendapatkan
rawatan di hospital. Lebih cepat anda mendapat rawatan, peluang sembuh
lebih tinggi dan bagi kes serius, rawatan dapat memanjangkan hayat anda
antara 26 hingga 29 bulan.
Mungkin ada yang berkata, perlu apa bersusah payah mendapatkan rawatan
jika hanya dapat memanjangkan jangka hayat kepada beberapa bulan. Itu
pendapat orang sihat tetapi bagi pesakit, ia sangat penting kerana dalam
tempoh itu mereka boleh melakukan banyak perkara seperti menghabiskan
masa berkualiti dengan orang tersayang.
Menyedari ramai pesakit tidak mampu membayar kos rawatan kanser yang mahal, Dr Christina memulakan program saringan sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah.
"Cara paling berkesan untuk
mengurangkan risiko kanser usus ialah dengan menjalani ujian saringan
terutama bagi individu berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai sejarah
kanser atau penyakit keradangan usus yang lain. Pengesanan awal dan
pembuangan polip sebelum ia bertukar menjadi kanser adalah cara terbaik mencegah penyakit ini.
"Pesakit kanser usus peringkat awal sebenarnya mempunyai peluang sembuh
yang tinggi jika ia dikesan awal dan diberikan rawatan sewajarnya. Apa
yang penting ialah datang ke hospital menjalani ujian saringan atau
menyertai program Empowered! bagi yang berkelayakan," kata perunding onkologi itu.
Apa yang pasukan sukarelawan Empowered! lakukan? Mereka akan mengagihkan
risalah ke setiap rumah untuk memberitahu mengenai kanser usus. Selain
itu di kawasan terpilih, sukarelawan ini akan menampal poster dan kain rentang mengajak penduduk menyertai program saringan berkenaan.
Sasaran Empowered! ialah golongan berpendapatan rendah yang kurang
pendedahan dan pengetahuan mengenai kanser usus, serta tidak mempunyai
masa menjalani saringan kesihatan mahu pun menyertai ceramah kesihatan.
Ini kerana setiap kes kanser usus menunjukkan peningkatan dengan purata
3,500 kes setahun dan program ini menjadi lebih penting kerana Malaysia kini menuju ke arah masyarakat berumur-yang bermakna setiap orang berisiko mendapat kanser usus.
"Program ini sangat berkesan dan bermanfaat. Tahun lalu, kami mendapat 600 penyertaan, lebih tinggi berbanding tahun pertama program
ini diperkenalkan. Setiap peserta akan diberikan penerangan mengenai
kanser usus dan kit untuk mengambil sampel najis masing-masing. Peserta
akan diajar bagaimana cara mengambil sampel najis mereka dan kit ini
akan dipungut oleh sukarelawan yang datang ke rumah peserta sebelum
dihantar ke makmal untuk dianalisis.
"Empowered! bukan saja menyediakan buku panduan malah ada perkhidmatan
bas untuk membawa penduduk mendengar ceramah dan penerangan mengenai
kanser usus. Saya rasa susah payah sukarelawan yang bersengkang mata
melaksanakan program kemasyarakatan ini termasuk bermesyuarat,
mengorbankan cuti hujung minggu dan mengetuk 20,000 pintu rumah penduduk
adalah sangat berbaloi, apatah lagi apabila melihat penduduk mula sedar
dan faham mengenai penyakit," katanya. Penduduk yang menyertai program
ini bukan saja mendapat saringan awal kanser usus percuma tetapi turut
diberikan sekampit beras!
Namun cabaran sebenar dihadapi 240 sukarelawan yang terdiri daripada
pakar pemakanan, pakar fisioterapi, kaunselor, pelajar perubatan dan
rakan yang menemani peserta ke hospital ialah apabila peserta disahkan
menghidap kanser. Dalam keadaan ini mereka (peserta) sangat memerlukan
sokongan daripada keluarga, rakan dan anggota kesihatan supaya mereka
tabah serta segera menjalani rawatan. Inilah sebabnya ada sukarelawan
yang dikhususkan bertugas menemani pesakit ke hospital.
Biasanya apabila ada acara kesihatan, rata-rata pesertanya adalah wanita
tetapi berbeza dengan Empowered! kerana 60 peratus peserta terdiri
daripada lelaki. Ini dianggap satu perkembangan yang memberangsangkan
kerana semakin ramai ketua keluarga mulai sedar kepentingan menjaga
kesihatan. Bahkan pasukan sukarelawan menggalakkan seisi keluarga untuk
menyertai program yang diadakan di tempat mereka.
Berdasarkan pemeriksaan makmal untuk saringan tahun pertama didapati dua
peratus peserta mempunyai keputusan tidak normal iaitu najis mereka
mengandungi darah. Peserta ini kemudiannya dihubungi untuk menjalani
ujian susulan bagi memastikan sama ada kandungan darah dalam najis
mereka disebabkan kanser atau masalah kesihatan lain dan diberikan
rawatan sewajarnya.
Pakar kesihatan menganggarkan 70 peratus kes kanser usus boleh dicegah
melalui perubahan tabiat pemakanan dan bersenam. Malah, melakukan
aktiviti yang kurang menggunakan tenaga selama dua jam seperti
membersihkan rumah juga didapati boleh memberi banyak perubahan kepada
kesihatan seseorang.
Melalui program yang sama, penduduk diajar cara untuk mengurangkan
risiko mendapat kanser iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat
seperti:
* Mengambil pemakanan seimbang
* Mengekalkan berat badan normal
* Meningkatkan aktiviti fizikal
* Melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
No comments:
Post a Comment