Dipetik dari : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0305&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_21.htm&arc=hive
Oleh OPAT RATTANACHOT uspetani@utusan.com.my
SUNGAI PETANI 4 Mac - Sekumpulan arkeologis dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) menjumpai dua artifak prasejarah berupa bangunan dan kilang melebur besi sekitar abad ke-3 Masihi dalam projek ekskavasi (penggalian) di Sungai Batu, Lembah Bujang, dekat sini, baru-baru ini.
Penemuan artifak di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan jalan lencongan Merbok tersebut membuktikan adanya kehidupan sebuah komuniti manusia prasejarah yang menjalankan kegiatan melebur bijih besi secara komersial.
Ekskavasi yang turut disertai seramai 70 anggota termasuk penuntut USM itu mengukuhkan tamadun manusia prasejarah bersandarkan pengetahuan asas perdagangan dan penghasilan bahan industri berskala besar.
Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, projek cari gali yang dimulakan pada 1 Februari lalu itu diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin membuahkan hasil apabila menemui artifak berkenaan.
Katanya, projek ekskavasi tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Taman Warisan Lembah Bujang yang dibiayai Jabatan Warisan Negara dengan kos sebanyak RM2.3 juta.
''Penemuan di kawasan Sungai Batu seluas tiga kilometer persegi ini berbeza dengan artifak terdahulu.
''Sebelum ini pakar-pakar arkeologi hanya temui bangunan berciri-ciri candi purba.
''Namun, daripada kajian terbaru ia telah mendedahkan kepada kita bahawa terdapat kawasan tapak dengan batu-bata dipercayai kediaman atau pejabat serta satu lagi berfungsi sebagai kilang tempat peleburan besi,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak penemuan artifak tersebut di sini hari ini.
Menurut Dzulkifli, penemuan kedua-dua tapak berkenaan dianggap penting kerana mungkin dapat merungkai persoalan berhubung usia sebenar peradaban Lembah Bujang.
"Pakar-pakar sebelum ini meletakkan pelbagai andaian berhubung penemuan candi-candi sekitar Lembah Bujang. Ada yang menyatakan ia berusia sekitar tahun ke-5 hingga 8 Masihi.
''Pun begitu, kita yakin penemuan terbaru ini akan membawa makna lebih besar kepada sejarah peradaban negara dan juga kawasan penempatan yang disifatkan tertua di Asia Tenggara," jelasnya.
Sementara itu, Mokhtar menjelaskan, pihaknya telah menghantar satu sampel arang yang ditemui di tapak terbabit untuk menjalani ujian radiokarbon dating di Beta Analytic Inc, Florida, Amerika Syarikat.
''Hasil ujian tersebut mengesahkan sampel berkenaan berusia sekitar abad ke 3- 4 Masihi.
''Ini bermakna ia merupakan penemuan pertama industri besi di dalam tamadun Lembah Bujang dan mempunyai tarikh mutlak,'' katanya.
Tambah beliau, selain penemuan tapak, pihaknya turut menjumpai beberapa bahan tinggalan sejarah seperti peralatan memproses besi, relau dan peniup haba.
''Kita akan menjalankan kajian lebih terperinci bagi menentukan perkaitan kawasan penempatan dan kilang besi ini dengan kawasan candi lain di Lembah Bujang,'' jelasnya.
Mokhtar berkata, kajian tersebut mengambil masa sehingga penghujung tahun ini dan selepas itu kawasan berkenaan akan diwartakan sebagai Taman Warisan Lembah Bujang oleh Kerajaan Malaysia.
''Kawasan Lembah Bujang merangkumi keluasan kira-kira 300 kilometer persegi bermula dari Gunung Jerai hingga ke Sungai Muda di Seberang Perai,'' jelasnya.
Kawasan peradaban Lembah Bujang mula dikenal pasti berdasarkan penemuan lebih 20 candi oleh Kapten James Low pada tahun 1840.
Hasil penyelidikan dan ekskavasi yang dijalankan sebelum ini juga mendapati kawasan tersebut merupakan sebuah pelabuhan utama di Asia Tenggara kurun ke-5 hingga 13 Masihi.
No comments:
Post a Comment