Saturday, March 12, 2011

Peninggalan sejarah bongkar cerita menarik

Semoga Allah membuka pintu kebenaran sejarah realiti Empayar Islam di Nusantara ini.

Artikel lama ini dipetik dari Arkib : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0512&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm&arc=hive

Lembah Bujang di Merbok, salah satu tempat yang sewajarnya dilawati seandainya pelawat datang ke Negeri Kedah. Bukan sahaja kerana keindahan alam, tetapi lembah diwarnai dengan pelbagai peninggalan sejarah yang unik dan menarik terutamanya kepada para pencinta sejarah.

Di segi geografinya, Lembah Bujang memilik tiga faktor alam semula jadi iaitu laut, sungai dan gunung, antara kaki Gunung Jerai dan Sungai Merbok.

Lebih istimewanya, Lembah Bujang yang terletak kira-kira 25 kilometer daripada Sungai Petani ini banyak peninggalan sejarah yang mempunyai rahsia di sebaliknya sama ada yang sudah dibongkar dan masih tersembunyi di bawah tanah.

Meski namanya tidak gah seperti Melaka di mata masyarakat, tetapi di sinilah terbinanya sebuah pelabuhan antarabangsa silam yang sibuk dengan urusan perdagangan sejak abad ke 4 Masihi sebelum dicabar keagungannya dengan kebangkitan tamadun Melayu Melaka pada abad ke 15 Masihi.

Mengikut sejarahnya, Kerajaan Kedah Tua yang berpusat di Lembah Bujang di sekitar Sungai Merbok merupakan sebuah pusat perdagangan yang penting sehingga kurun ke 18. Kawasan ini telah menjadi pelabuhan persinggahan bagi pedagang-pedagang India, Arab dan China kerana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan di antara India dan China malah turut didatangi pedagang Timur Tengah.

Gunung Jerai, telah dijadikan mercutanda kepada semua pedagang yang singgah berdagang di Lembah Bujang dan kedatangan mereka itu secara tidak langsung telah meninggalkan kesan sejarah yang amat berharga di Kedah.

Berdasarkan kajian, kesan-kesan peninggalan arkeologi di Lembah Bujang telah pertama kali diselidik oleh Kolonel James Low dalam tahun 1864, tetapi malangnya sejauh mana penyelidikan dijalankan sukar dipastikan kerana tidak terdapat butiran lengkap mengenainya.

Namun, catatan yang dibuat sekurang-kurangnya telah menunjukkan beberapa tapak kuil ditemui. Contohnya, pada awal kurun ke 20, dua orang ahli ukur yang bertugas di puncak Gunung Jerai telah menjumpai tapak kuil Hindu di kawasan itu (?).

Seterusnya kajian di Lembah Bujang disambung pula oleh arkeologis barat, Evans antara tahun-tahun 1920 an dan 1930 an yang mana beliau telah menemui patung Durga Devi bersama Mahishahura ketika melawat Sungai Batu pada tahun 1921.

Dalam lawatan keduanya ke Sungai Batu iaitu pada tahun 1923, beliau telah menjumpai pula Patung Ganesha dan kemudian terdapat banyak lagi bahan arkeologi ditemui di tahun-tahun selepasnya.

Penemuan kesan sejarah itu sebenarnya telah membuka lembaran baru di dalam pengkajian sejarah awal negeri Kedah. Kedua-dua pengkaji, James Low dan Evan berpendapat artifak dan monumen yang ditemui itu mempunyai unsur India.

Kajian kemudiannya diteruskan oleh H.G Quaritch Wales dan isteri pada tahun 1947 hingga 1938 yang telah membuat penyelidikan secara menyeluruh di Lembah Bujang dan hasilnya sebanyak 30 tapak candi ditemui yang mana 29 daripadanya terletak di sekitar Lembah Bujang dan selebihnya di Seberang Prai.

Walau bagaimanapun, kajian di Lembah Bujang telah terhenti seketika dan bagi memastikan peninggalan sejarah tidak tenggelam begitu sahaja, Jabatan Muzium dan Antikuiti giat meneruskan penyelidikan dan cari gali mulai 1970 an sehinggalah ke hari ini dan hasil kajian dipamerkan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang iaitu satu-satunya muzium arkeologi di Malaysia.

Artifak yang dipamerkan di muzium ini merupakan hasil kegiatan cari gali dan kajian yang dilakukan mulai tahun 1845 hingga kini. Secara purata terdapat sekitar 100 artifak dipamerkan dan kira-kira 2,500 artifak lagi masih dalam tahap penyelidikan. Antara artifak yang dipamerkan adalah tembikar tanah, porselin, serpihan kaca, manik dan seramik Parsi.

Dan, kira-kira lima kilometer dari muzium inilah ditemui sebuah struktur bangunan dipercayai masjid berusia 1,100 tahun yang tertanam di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok bersama barangan lain seperti tembikar, seramik dan kaca yang dipercayai dibawa oleh pedagang China dan Asia Barat pada kurun ke 9 hingga 13.

Sekiranya tepat jangkaan itu maka catatan sejarah terutama kedatangan Islam ke negara ini mungkin berlaku perubahan atau anjakan apabila terbukti Islam lebih dahulu berkembang di Kedah berbanding Melaka.

No comments:

Post a Comment