Thursday, November 12, 2009

WARISAN HIDUP SEPAJANG ZAMAN

MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA
Bandaraya Melaka terkenal dengan tinggalan sejarah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008 sebagai Bandaraya Warisan Dunia. Dengan pengiktirafan ini, Melaka telah maju selangkah lagi dan berjaya meletakkannya dipersada antarabangsa sebagai Bandaraya Warisan Dunia (World Heritage City).Pengiktirafan ini telah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Zon Utama (Core Zone) dan Zon Penampan (Buffer Zone). Zon utama Bandaraya Warisan Dunia ini terdiri daripada 2 kawasan. Pertama kawasan Bukit St. Paul (St. Paul’s Hill Civic Zone) yang terdiri daripada beberapa bangunan kerajaan, Muzium, Gereja dan Dataran Bandar serta Tugu A’Famosa yang dibina dalam kurun ke-16 semasa dalam pemerintahan Portugis dan Belanda. Kawasan ke-2 adalah kawasan perumahan dan komersil yang bersejarah serta bangunan keagamaan (The Historic Residential and Commercial Zone) di sepanjang jalan utama iaitu Jalan Tun Tan Cheng Lock (Jalan Heren), Jalan Hang Jebat (Jonker Street), Jalan Tokong / Tukang Emas / Tukang Besi dan Jalan Kampung pantai. Zon utama ini dikelilingi oleh kawasan perumahan seluas 134.03 hektar yang terdiri daripada Jalan Merdeka, Jalan Kota Laksamana, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tan Chang Yan, Jalan Munshi Abdullah, kawasan belakang Kampong Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng. Pengiktirafan Bandaraya Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia merupakan salah satu daya tarikan kepada kedatangan lebih ramai pelancong dari dalam luar Negara ke negeri Melaka. Dengan sosio-budaya yang harmoni, berbilang bangsa dan kaum telah menjadikan negeri Melaka sebagai wadah yang sangat istimewa untuk dikunjungi dan ianya perlu dikekalkan dan dijaga untuk tatapan generasi madani.

No comments:

Post a Comment